Friday, 20 August 2010
PEMBUANGAN BAYI BERMULA DARI PESTA DAN PERAYAAN DI TENGAH MALAM
Tiga kes buang bayi dalam tempoh 24 jam - Shahrizat
KUALA LUMPUR - Tiga lagi kes pembuangan bayi telah dilaporkan dalam tempoh 24 jam di Kelantan, Melaka dan Kuala Lumpur, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Menurutnya, kejadian terbaru itu telah dimaklumkan kepada beliau tetapi tidak mempunyai butiran lanjut kerana masih menunggu laporan lengkap mengenainya.
Katanya, semua pihak mestilah mengambil sikap serius dan tidak bersikap 'lepas tangan' berhubung kes-kes pembuangan bayi yang semakin berleluasa.
Beliau berkata, isu itu jika tidak ditangani segera akan mengakibatkan kehancuran nilai agama dan budaya dalam masyarakat pada masa depan.
"Ini adalah tanggungjawab bersama ibu bapa, keluarga, masyarakat setempat dan pemimpin. Jangan ambil kes-kes ini sambil lewa," katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Bersalin, Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini hari ini.
(Sinar Harian, 13 Ogos 2010).
Ulasan Untuk Renungan Bersama
Dua tiga bulan kebelakangan ini kita dapati kejadian pembuangan bayi amat kerap sekali. Masalah pembuangan bayi bukan terjadi hanya mulai tahun ini sahaja, tetapi telah terjadi beberapa tahun lalu lagi. Ini menunjukkan kejadian itu bukan bermusim, tetapi telah bertahun-tahun lama tanpa ada langkah-langkah yang tepat bagi mengatasinya dilakukan, sama ada oleh pihak pemerintah, organisasi politik atau NGO atau oleh ibu bapa sendiri dan juga oleh para pendidik dan khususnya para ulama yang diamanahkan tugas sebagai “warasatul ‘ambia” (pewaris tugas para Nabi).
Sehingga kini, langkah yang terbaru ialah pihak pemerintah hendak mengadakan undang-undangkan menghukum mana-mana pihak yang didapati membuag bayi dianggap sebagai pembunuh. Sebelum ini ada pihak yang mencadangkan supaya diadakan tempat penempatan khas untuk bayi-bayi yang dibuang. Apakah itu suatu langkah penyelesaian yang tepat?
Sebelum saya menyentuh persoalan ini lebih lanjut, saya ingin membawa seluruh rakyat khususnya umat Islam agar sama-sama memikirkan jalan penyelesaian yang tepat mengikut apa yang telah digariskan oleh Allah dan Rasul-Nya.
Satu perkara lagi yang timbul persoalan dalam fikiran saya, kenapa dua tiga bulan kebelakangan ini begitu banyak berita pembuangan bayi. Cuba kita fikirkan umur bayi dalam kandungan cuma 9 bulan 10 hari. Tapi ada juga berita bayi yang dibuang itu cuma berumur 6 atau 7 bulan. Cuba kita undur ke belakang, sejak dari tarikh bayi itu lahir atau digugur (dibuang), katakanlah bulan sejak Jun atau Julai atau Ogos, ertinya ibu bayi itu mula mengandung sekitar 7 atau 8 atau 9 bulan sebelum ini. Ertinya anak yang dibuang itu mulai sejak bulan Ogos tahun lalu (sempena sambutan Merdeka) dan ada yang mulai kandungan mulai bulan Januari (sempena sambutan tahun Baru).
Waktu-waktu yang saya sebut itu para muda-mudi berkumpul menyambut perayaan itu sehingga larut malam. Tak hairanlah, mulai bulan Ogos pesta sambutan Kemerdekaan di tengah malam dan juga pesta sambutan Tahun Baru juga dilakukan pada tengah malam. Siapakah yang bertanggung jawab menganjur perayaan-perayaan itu, sehingga muda muda hilang dan rosak moral mereka sehingga 6 atau 7 atau 8 atau 9 bulan setelah itu terjadi PEMBUANGAN BAYI berleluasa ?
Oleh itu, pihak tertentu yang terlibat dengan acara pesta untuk muda mudi sehingga ke larut malam, seharusnya sama-sama bertanggung jawab, termasuk juga yang menganjurkan Sure Heboh atau Jom Heboh dan sebagainya. Tak hairanlah, selepas acara-acara tersebut, keesokan harinya, pihak yang bertugas membersih sampah sarap di tapak-tapak pesta berkaitan, bertemu dengan kondom-kondom yang telah diguna… Apakah berita penemuan kondom itu tidak boleh dijadikan sebagai suatu jawapan untuk dijadikan panduan ke arah jalan penyelesaian…?
Subscribe to:
Posts (Atom)