KENALILAH RASULULLAH SAW, NESCAYA ANDA MENYINTAINYA
(1)-MUQADDIMAH
Sejarah kehidupan Nabi Mauhammad s.a.w. adalah teladan yang amat baik, bagi umat Islam setiap genarasi sebagai sumber dan daya untuk mempersegarkan iman dan membangkitkan semangat cinta kepada Allah dan kepada peribadi Nabi Muhammad s.a.w. serta membangunkan semangat perjuangan untuk mempertahan agama Islam serta mengembangkannya kepada masyarakat sejagat, daripadanya juga dapat ditingkatkan keyakinan dan tauhid, agar dapat merangsangkan fikiran, jiwa dan fizikal umat, sehingga membentuk sikap dan personaliti yang agung sebagai “modal insan” kepada perjuangan menegakkan cara hidup Islam yang syumul dalam diri, keluarga dan masyarakat serta alam sejagat melalui mengorbankan kepentingan diri dan keluarga, bahkan jiwa raga pun dianggap murah untuk dikorbankan, sehingga sanggup menghadapi apa juga keadaan dan risiko dengan tabah dan tetap terus bertawakal kepada Allah s.w.t. semata-mata.
Lantaran itu, perjalanan menjelajah dan mengembara di muka bumi ini, untuk menyebar luaskan seruan Allah dan Rasul-Nya, terus-menerus dilakukan tanpa merasa jemu dan lelah atau tanpa dengan niat ingin merperolehi sesuatu genjaran berbentuk keduniaan, tapi dilakukan dengan penuh keikhlasan dengan niat agar syiar Islam bersemarak di segenap penjuru dunia ini, dari Timur sampai ke Barat dan dari Utara ke Selatan. Tidak ada bumi yang tidak jelajahi, tidak ada gunung tidak didaki, tidak ada lembah yang tidak dituruni dan tidak ada lautan yang tidak diseberangi, semata-mata untuk satu matlamat, iaitu melaksanakan tugas menyebarkan risalah Allah agar “Kalimah Allah” menjadi tinggi dan diagungkan di mana-mana oleh individu, keluarga, masyarakat, negara dan alam sejagat.
Oleh sebab itu, apabila Rasulullah s.a.w. ditanya oleh para sahabat tentang erti dan maksud serta tujuan berjihat fi sabilillah, Baginda s.a.w. dengan tegas menjelaskan: “Orang yang berjuang sebenar, ialah mereka yang berjuang agar KALIMAH ALLAH menjadi tinggi.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Riwayat daripada Abi Musa al-Ashaari, bahawa seorang Arab Badwi bertanya kepada Rasulullah s.a.w. bahawa terdapat 4 jenis orang berjuang; 1). Berjuang kerana ingin merebut harta rampasan; 2). Berjuang kerana inginkan agar nama terkenal; 3). Berjuang kerana inginkan agar ia dianggap seorang yang hebat dan berani; dan 4). Berjuang kerana ingin melepaskan geram (marah) kepada musuh. Maka mana satu di antaranya yang benar-benar dianggap berjuang FI SABILILLAH (berjuang pada jalan Allah). Soalan itu lalu dijawab oleh Nabi s.a.w.: “Orang yang berjuang sebenar, ialah mereka yang berjuang agar KALIMAH ALLAH menjadi tinggi. Maka itulah yang dianggap JIHAD FI SABILILLAH sebenarnya” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Hadis di atas menjelaskan maksud berjuang sebenar ialah agar Kalimah ALLAH menjadi tinggi dan diagungkan. Maksud “Kalimah ALLAH” ialah hukum-hakam Allah dalam semua bidang kehidupan diamalkan dalam kehidupan harian oleh setiap individu pada diri, keluarga, masyarakat, negara dan alam sejagat. Maksud “menjadi tinggi” ialah diagung dan diutamakan dalam semua perkara sehingga Islam menjadi carahidup yang termulia dan dihormati setiap masa.
Hukum-hakam Allah itu ialah: wajib, sunat, haram, makruh dan harus. Wajib dan sunat ialah perintah surah (amar) agar ditegak dan diamalkan. Haram dan makruh ialah perintah larang (nahi) supaya ditinggalkan. Sementara harus pula terserah pada pertimbangan sendiri.
Hukum-hakam tersebut meliputi semua bidang dan persoalan hidup, daripada persoalan besar hingga kepada perkara sekecil-kecilnya. Iaitu daripada persoalan kenegaraan hinggalah kepada persoalan keluarga, rumah tangga dan diri, termasuk mengawal dan menjaga anggota dan pancaindera seperti mata, mulut, telinga, kedua tangan dan kaki agar tidak melakukan perkara haram, sebaliknya digunakan kepada perkara halal sahaja.
Ada pun kedudukan hukum-hakam Islam yang lima itu adalah seperti berikut;
1. Wajib ialah perintah yang mesti dilaksanakan, jika dilaksanakan diberi pahala dan jika ditinggalkan berdosa. Kedudukannya wajib dilaksankannya.
2. Sunat perintah yang patut dilaksanakan, jika dilaksanakan mendapat pahala dan jika ditinggalkan tidak berdosa. Kedudukannya eloklah dilaksanakan.
3. Haram ialah larangan yang mesti ditinggalkan, jika ditinggalkan dapat pahala dan jika dilaksanakan berdosa. Kedudukannya wajib ditinggalkan.
4. Makruh ialah perkara yang patut ditinggalkan, jika ditinggalkan dapat pahala dan jika dilaksanakan tidak berdosa. Kedudukannya, eloklah ditinggalkan.
5. Harus ialah perkara yang jika dibuat tidak berpahala dan jika ditinggalkan pun tidak berdosa. Kedudukannya terserah pada pertimbangan sendiri. Walau bagaimana pun perkara harus itu, Islam tidak menganggapnya suatu yang sia-sia, sekiranya ia dilakukan dengan mengikut lima syarat. Di antara lima syarat tersebut ialah;
1. Niat hendaklah betul. Iaitu niat kerana Allah.
2. Perkara yang dilakukan itu dilulus oleh syariat Islam.
3. Perlaksanaannya tepat mengikut kehendak syariat Islam.
4. Natijah atau hasilnya digunakan untuk membina sahsiah diri, keluarga, masyarakat agar selari dengan Islam serta dapat dijadikan sebagai alat membangun dan memajukan umat sejagat .
5. Dalam masa melaksanakan perkara itu, tidak sampai meninggalkan perkara asas dalam ajaran Islam, seperti solat, puasa, zakat dan lain-lain tuntutan fardhu ain.
Jadi, jika apa perkara pun yang dilakukan, sekiranaya mengikuti lima syarat di atas, semuanya akan jadi ibadah dan mendapat pahala serta di akhirat mendapat balasan syurga. Itulah perjuangan Islam sebenar dan itulah ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w..
Demikian matlamat dan halatuju perjuangan yang diperjuangkan oleh Rasulullah s.a.w. dan mereka yang mengikuti jejak langkah perihidup Baginda s.a.w. yang dihidupkan jiwa mereka melalui contoh dan teladannya daripada roh sejarah perjuangan Rasulullah s.a.w., yang bukan semata-mata dibaca dan difahami, tetapi dihayati dalam kehidupan harian sehingga dijadikan sebagai budaya (cara hidup) pada diri, keluarga, masyarakat, negara dan alam sejagat.
Golongan inilah yang dianggap dan diiktiratkan sebagai “generasi al-Quran” yang sebenarnya, yang boleh diberi gelaran sebagai pewaris para Nabi dan Rasul. Kerana mereka benar-benar mencontohi perilaku Rasulullah s.a.w. dengan meninggalkan kelazatan dan kemewahan hidup, merantau jauh dari kampung halaman, tidur tanpa mementingkan tilam empuk, sebaliknya berbantalkan lengan dan berselimutkan kedinginan. Itulah budaya hidup para pejuang dan da’ie yang pernah ditempuh oleh generasi terdahulu sehingga Islam mampu sampai ke rantau ini. Tanpa kegigihan mereka kita tidak akan dapat nikmati iman dan Islam yang kita sedang yakini dan amalkan sekarang ini.
Sesungguhnya, para penganjur ummah menjadikan sejarah gemilang dan teladan Nabi s.a.w. sebagai sumber inspirasi mereka dan sebagai pendorong kebangkitan bani Adam selaku kaum Muslimin, yang dilantik sebagai “Khaliffah Allah” di muka bumi ini. Mereka golongan menggugah serta merangsang semangat beragama, bukan sekedar mengetahui dan mengikuti kisah-kisah dan peristiwa yang terjadi, tetapi meyakinkan dan meresapkan kebenarannya secara keseluruhannya (syumul) dan secara amaliyah dalam diri, akan contoh dan teladan daripada kehidupan Nabi besar Muhammad s.a.w. dan juga para sahabatnya yang sama-sama berjuang dengannya sehinggalah kepada para tabi‘in serta generasi seterusnya.
Inilah bentuk budaya perjuangan yang akan kita sambung dan perkokohkan kembali, iaitu hubungan kita, generasi kini dan seterusnnya dengan tokoh agung kita Nabi Muahamad s.a.w. dan menjadikan sejarah hidupnya sebagai pengasas kepada perguruan INSANul KAMIL.
Sejarah kehidupan Nabi Muhammad s.a.w. hendaklah ditinjau dari segala seginya, bukan semata-mata perjalanan kehidupannya yang biasa sahaja, tetapi menyorot hikmah dan pengajaran yang tersirat di sebaliknya, hal itulah yang telah menarik minat dan perhatian para penulis dan pengkaji sejarah sehingga tercatat dalam penulisan sejarah mereka, akan kehebatan peribadi dan perjuangan Nabi Muhamaad s.a.w. yang ditulis dalam pelbagai bahasa di dunia ini.
Khususnya para penulis Barat yang berusaha mengungkapkan dan menganalisis pelbagai bukti-bukti ilmiah dan fakta yang tepat, sehingga ramai kalangan mereka yang mengkagumi dan mengakui Nabi Muhammad s.a.w. itu, sebagai manusia yang amat berjasa besar kepada dunia ini, dalam usahanya membebaskan manusia dari segala bentuk belenggu jahiliah, dari belenggu budaya perbudakan dan diperhambaan diri, hingga belenggu hawa nafsu, dengan mengangkat martabat mereka kepada umat yang terhormat yang dikagumi dan dicontohi oleh dunia sejagat.
Betapapun banyaknya buku-buku yang telah ditulis oleh para penulis, yang mengungkapkan keagungan dan kebesaran Nabi Muhamaamd s.a.w., namun mereka tetap belum berhasil sepenuhnya, dalam meperincikan segala sifat dan budi luhur yang memancar dan menghiasi peribadi Nabi Muhammad s.a.w. yang telah mencapai puncak kesempurnaan insani (Insanul Kamil), dan menjadi makhluk terpilih oleh Allah yang menjadi perantara (utusan) bagi menyampaikan ajaran-Nya kepada makhluk manusia dan jin, kerana masih banyak lagi yang belum dapat disorot dan rahsia-rahsia yang tersirat di sebaliknya perihidup Baginda s.a.w..
Keindahan diri Nabi Muhammad s.a.w. sedemikian lengkap dan sempurna andai kata cahayanya menyoroti bulan purnama tak mungkin ia ditimpa gerhana. Kerana cahaya Nabi s.a.w dapat membantu menerangi kegelapan “alam maya” ini. Betapa pun banyak gambaran tentang sifatnya, waktu akan habis berlalu, dari semasa ke semasa, namun keindahan dan keutamaan Baginda s.a.w. itu tidaak akan habis-habisnya. Kian meningkat maju umat manusia dalam bidang peradaban, dan makin luas cakrawala pemikirannya, makin dikenal dan diakui pula jasa-jasa Nabi s.a.w. itu terhadap nilai peri kemanusiaan sejagat.
Lima belas abad sudah berlalu sejak kepergian (kewafatan) Beliau s.a.w. meninggalkan kita dari alam yang fana ini, namun keagungan peribadinya tetap menawan hati, memenuhi segala kenangan akan dirinya, yang merupakan sumber inspirasi yang tak kunjung kering, dan Beliau tetap dianggap sebagai teladan tertinggi dan teragung.
Setiap umat manusia memang perlu menyedari, bahawa Nabi Muhammad s.a.w. yang mulia dan amat kasih sayang itu, adalah Rasulullah (Utusan Allah) untuk manusia sejagat termasuk jin. Apabila Allah s.w.t. menegaskan: “Tiadalah Kami (Allah) mengutus kamu (Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat untuk alam sejagat.” (Surah al-Anbia [21]: 107), ertinya untuk pelbagai bangsa dan suku, semuanya wajib beriman dan mengikut ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w., dalam erti kata lain juga, Nabi Muhammad berjuang untuk kesejahtaraan bangsa lain juga. Lantaran itu semua umat manusia yang hidup di atas muka bumi Allah ini wajib menerima dan menghayati agama dan menjadikan ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. sebagai pedoman hidup harian.
Kebesaran Nabi Muhammad s.a.w. bukan bersumberkan fanatisme atau kedudukan dan harta, tidak pula kerana bangsa yang melahirkan atau memuliakan salasilah keturunannya, tapi keagungan dan kebesaran Beliau s.a.w. adalah kerana keperibadian, keluhuran akhlaknya dan luas bidang yang ditanganinya sehingga ke alam sejagat, sehingga Beliau layak diberi gelaran “Insanul Kamil”, kerana Beliau benar-benar mempunyai ciri-ciri insanul kamil, bukan sekadar gelaran sahaja, dan Beliau yang hidup dan matinya hanya diperuntukkan semata-mata untuk Allah. Dialah Rasul yang terpilih dan ditabalkan oleh Allah sebagai “Penghulu Segala Nabi dan Rasul” serta termulia di antara segala makhluk.
Beliaulah Nabi dan Rasul terakhir dan juga pembawa risalah terakhir, Agama Ilahi terakhir untuk semua insan, dikenali dengan Agama Islam.
Firman Allah surah al-Rum [30]: ayat 30 “Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada (berlaku) perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”
Maksud “Fitrah Allah” ialah, “Ciptaan Allah”. Bahawa manusia itu diciptakan oleh Allah mempunyai naluri beragama, iaitu agama tauhid. Kalau ada manusia tidak beragama tauhid, maka hal itu tidaklah wajar, kerana ia dianggap telah menyalahi fitrah semulajadi kejadiannya. Mereka tidak beragama tauhid itu hanyalah lantara pengaruh lingkungan yang telah menutupi fitrah mereka yang asal. Ertinya mereka telah bersifat dengan sifat tidak asli.
Lantaran itu Allah berfirman lagi: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya, kecuali mereka yang beriman dan mengerjakan amal saleh (mengikuti teladan hidup Rasulullah); maka bagi mereka pahala yang tiada putus-putusnya.” (Surah al-Tin [95]: 4-6).
Dalam ayat lain Allah menegaskan lagi: “Akan ditimpakan kehinaan ke atas mereka di mana saja mereka berada, kecuali
(tidak ditimpakan kehinaan) jika mereka berpegang kepada tali (agama) Allah dan tali (perjanjian) dengan manusia, dan mereka kembali mendapat kemurkaan dari Allah dan mereka diliputi kerendahan...” (Surah Ali Imran [3]: 112 ).
Ayat ini juga menjelaskan bahawa manusia itu akan dihina oleh Allah jika mereka tidak mengamalkan perintah atau mengamalkan ajaran yang menghubungkan diri dengan Allah dan juga ajaran yang berhubung dan yang berkaitan dengan sesama makhluk manusia. Iaitu berkaitan dengan tanggungjawabnya kepada keluarga, masyarakat, negara dan alam sejagat.
Agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad sahaja yang mengajarkan Tauhid sejati, dalam arti yang semurni-murninya, dan menggariskan dasar bagi tertegaknya keadilan, kebebasan, persamaan dan persaudaraan antara umat, maka nilai-nilai luhur yang menjadi ajarannya, pada hakikatnya bertujuan untuk meninggikan martabat manusia daripada haiwan kepada insan sejati, di samping anjurannya akan kasih sayang, tolong menolong, menepati janji dan menyebarkan ilmu pengetahuan demi kemakmuran dan perdamaian, tanpa berkompromi dengan aliran faham yang membawa kepada kemusyrikan, kemungkaran dan tahyul serta ketaatan kepada hawa nafsu. Matlamat ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. ialah untuk menjuruskan seluruh umat manusia bersatu bernaung hanya di bawah panji ajaran Allah dan Syariat-Nya.
Semunya bersimpul dalam kalimah “La-ilaha illa-Allah, Muhammadur-Rasulullah”. “La-ilaha”, ialah “menafikan segala Tuhan”, “illa-Allah” “melainkan ALLAH” semata yang diisbatkan (ditetapkan) di dalam hati. “Muhammadur-Rasulullah”, “Nabi Muhammad adalah Utusan Allah”, bukan sekadar diikrar (diakui) dengan lidah, tetapi diikuti dengan amalan dengan perbuatan.
Sebelum kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. beliau diberi kesempatan oleh Allah menyampaikan seruan Ilahi itu kepada seluruh umat manusia, pelbagai peringkat dan golongan sehingga kepada Raja-Raja dan para penguasa di dunia ketika itu, dari Kisra Syahinsyah raja Parsi, Amir Bahrain, Al-Najasyi raja Habasyah, hingga Muqauqis raja muda Mesir dan Herakulis Kaisar Rom.
Demikian juga dengan para khalifahnya yang datang silih berganti, dengan tekun dan penuh tanggungjawab, memikul dan melaksanakan tugas berat yang suci itu, mengumandangkan gema dakwah, menyebarluaskan ke seluruh pelosok alam ini, sehingga tegak berdirinya suatu peradaban cemerlang, yang hingga kini tetap diwarisi oleh pelbagai suku bangsa, baik sebagai aqidah dan juga akhlak, sama ada di bidang hukum-hakam, tamadun seni dan budaya dan sebagainya, sehingga kesan pengaruh Islam diterimanya sebagai pusaka jang tak ternilai harganya, tetap terpelihara dan terus akan hidup selama planet bumi ini masih berkembang, dan selagi dunia masih dihuni oleh mahkluk yang bernama manusia.
Lantaran itulah, maka buku ini disusun sekadar sumbangsih saya, tentang segi-segi kesempurnaan peribadi Nabi kita Muhammad s.a.w., dengan harapan semoga Allah selalu menunjukkan jalan yang benar, demi kebaikan dan kesejahteraan kita bersama yang berada di atas bumi Allah ini.
Dari Hamba Allah yang banyak berdosa:
Jaafar Salleh
Selangor Darul Ehsan