Wednesday, 5 July 2017

MANAKAH SATU AGAMA YANG BETUL?

(Siri PERTAMA)

 Seperti mana telah sedia diketahui bahawa ALLAH TA’ALA telah menghantar Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul ke muka bumi ini adalah untuk membawa agama ALLAH dan memimpin manusia agar beriman kepada ALLAH dan menjadikan perat­uran agama sebagai panduan dan jalan hidup. Nabi dan Rasul yang mula-mula sekali ialah Nabi Adam AS dan Nabi dan Rasul terakhir dan kesudahan bagi segala Nabi  ialah Nabi kita Sayyidina Muhammad S.A.W.

Telah diketahui bahawa alam manusia pada zaman sebelum  ALLAH TA’ALA mengutus Nabi kita Sayyidina Muhammad S.A.W, berada di dalam  kacau-bilau dan huru-hara ber­punca daripada manusia tidak berTuhankan ALLAH dan tidak mempunyai panduan agama. Kaum Arab telah mening­galkan agama Islam yang dibawa oleh Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s. Sudahlah mereka menyembah berhala, kehidupan mereka tiada tenteram.

Masyarakat Rome yang mengaku menganut agama Kristian dan bernabikan Nabi Isa a.s telah tiada lagi mengamal­kan agama itu. Kitab Injil dan dasar agama yang  dibawa oleh Nabi Isa AS telah diubah dan hukum-hakamnya telah disembunyikan oleh para pendeta Yahudi.

Umat-umat lain seperti di India dan lain-lain negara yang sepatutnya beramal dengan agama Islam yang dibawa oleh Nabi Isa a.s menjadi penyembah berhala, kerana para pendita Yahudi tidak menyampaikan ajaran itu kepada mereka, jadilah   mereka  dalam gelora kegelapan tiada berpanduan hidup.

Berpunca daripada perkembangan tersebut di atas dan juga dengan kehendak  ALLAH TA’ALA serta kerana kasih sayang ALLAH kepada umat manusia, maka ALLAH TA’ALA telah mengutuskan Sayyidina Muhammad S.A.W kepada seluruh manusia sama ada Arab atau ajam (bukan Arab).

Seperti mana Firman ALLAH TA’ALA dalam Al Quran;
Maksudnya: “Sesungguhnya KAMI (ALLAH) mengutuskan kamu (Muhammad) kepada seluruh manusia di muka bmumi ini untuk  menyampaikan khabar yang menyukakan bagi orang-orang mukminin dengan syurga, dan menyampaikan khabar yang menakutkan bagi orang-orang kafirin dengan azab neraka” -(Surah Saba’ ayat 29).

Sementara Nabi kita Sayyidina Muhammad S.A.W sendiri telah mengakui lagi dengan sabdanya;
Maksudnya; “Demi diri ku di bawah kekuasa NYA (ALLAH), tidak seorang daripada umat ini (umat dakwah) yang telah mendengar akan dari hal (seruan) aku, sama ada ia orang Yahudi atau orang Nasrani (kristian), tapi kemu­diannya ia mati dengan tiada beriman  dengan agama yang aku diutuskan dengannya itu, maka sesungguhnya ia mati dalam keadaan kufur dan tempatnya di dalam nereka Jahanam” -(Riwayat Imam Muslim).

1).        ALLAH Menolak Dakwaan Orang Yahudi

Agama yang dibawa oleh Nabi-Nabi dahulu dan khususnya Nabi kita Sayyidina Muhammad S.A.W ialah agama Islam. Walau pun ada istilah Nasrani dan Yahudi, tetapi penga­jaran asal agama tersebut yang dibawa oleh Nabi Musa AS dan Nabi Isa AS ialah mentauhidkan ALLAH dan mengajak menyembah ALLAH. Atau dengan istilah lain disebut boleh disebut Islam.

Tetapi setelah para pendita agama berkenaan telah menyeleweng dan mereka menyelewengkan pula ajaran-ajaran yang dibawa oleh Nabi-Nabi mereka, maka sekarang ini agama tersebut tergolong ke dalam golongan agama kafir. Tambahan pula setelah diutus Nabi Muhammad SAW, maka ALLAH telah memerintahkan semua umat manusia yang hidup di muka bumi ini tidak kira apa bangsa, semuanya wajib mengikut ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW serta mengikut Baginda SAW.

Sebagai bukti, marilah kita lihat firman ALLAH di dalam Al Quran tentang beberapa orang Nabi yang didakwa oleh para ahli kitab zaman Nabi Muhammad SAW sebagai penga­nut agama Yahudi atau Nasran. ALLAH SWT telah menyang­kal dakwaan mereka.

Firman ALLAH;
Maksudnya; “Adakah kamu  hadir ketika Nabi Yaacob hampir wafat dan telah bertanya kepada anak-anaknya; Apakah kamu akan menyembah setelah sepeninggalan ku?. Mereka menjawab; Kami akan menyembah Tuhan kamu dan Tuhan nenek moyang mu, Ibrahim, Ismail dan Isyaq, iaitu Tuhan Yang Maha Esa dan kami tunduk dan patuh kepada NYA” -(Surah Al Baqarah ayat 133).

Firman ALLAH lagi;
Maksudnya;  “Patutkah kamu mengatakan bahawa Nabi Ibrahim, Nabi Ismail, Nabi Isyaq, Nabi Yaacob dan nak-anak mereka semuanya menganut agama Yahudi atau Nasra­ni. Padahal agama mereka telah ada sebelum agama kamu (Yahudi atau Kristian). Katakanlah kepda mereka; Adakah kamu lebih mengetahui atau ALLAH lebih mengetahui....” -(Surah Al Baqarah ayat 140).

Firman ALLAH;
Maksudnya; “Orang-orang Yahudi dan Nasrani berkata (kepada Nabi Muhammad dan pengikutnya); Jadikanlah kamu penganut agama Yahudi atau Nasrani, nescaya kamu akan mendapat petunjuk. Katakanlah (wahai Muhammad); Kami orang-orang Islam tidak akan menurut apa yang  kamu katakan itu, bahkan kami mengikut agama Nabi Ibrahim yang tetap di atas dasar tauhid dan bukan ia orang musyrik” -(Surah Al Baqarah ayat 145).    

Ayat-ayat di atas ALLAH telah dengan rasminya menafikan dakwaan orang-orang Yahudi dan Nasrani yang mendakwa Nabi-Nabi dahulu menganut agama Yahudi dan Nasrani seperti mana keyakinan agama tersebut sekarang ini. Ayat-ayat di atas  membenarkan bahawa semua para Nabi dan Rasul dahulu adalah Islam.




2).        Islam Agama Yang Wajib Dianuti Semua Manusia

Selanjutnya ALLAH menegaskan lagi bahwasa Islam-lah agama yang sebenar yang wajib dianuti oleh semua manu­sia di muka bumi ini. Walau pun ada pehak lain mengakui agama-agama Yahudi dan Nasrani atau lain-lain agama semuanya dari ALLAH dan diasaskan  oleh nabi-nabi berkenaan. Tapi dengan diutuskan Nabi Muhammad SAW, semua ajaran yang dibawa oleh nabi-nabi berkenaan telah dimansuhkan. Semua manusia diperintahkan agar mengikut Nabi Muhammad SAW.

Firman ALLAH TA’ALA:
Maksudnya: “Bahawa agama yang diredahi ALLAH TA’ALA ialah agama Islam agama tauhid dan agama mengesakan Allah” -(Surah Ali Imran ayat 19).

Firman ALLAH TA’ALA lagi:
Maksudnya:  “Barang siapa mencari agama yang lain daripada agama Islam, maka pastilah tidak merimanya dan di akhirat kelak ia masuk dalam golongan orang-orang yang rugi dan kekal  di dalam api neraka” -(Surah Ali Imran ayat 85).

Sebuah hadis yang diriwayat oleh Imam Muslim bahawa suatu ketika Nabi kita Sayyididna Muhammad S.A.W dida­tangi oleh seorang bertanyakan tentang  hal ehwal Islam, iman, ihsan dan hal ehwal tanda-tanda hari qiamat, maka Nabi SAW menjawab satu persatu kepada orang yang bertanya itu. Kemudia Nabi SAW memberitahu kepada Sayyidina Umar bahwa yang datang itu ialah Sayidina Jibril AS dengan tujuan mengajarkan kamu akan dari hal agama kamu.

Di antara jawapan yang diberikan oleh Nabi SAW tentang persoalan-persoalan itu adalah seperti berikut;

1.  Islam ialah mengucap dua kalimah syahadah, semba­hyang lima waktu, mengeluar zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan mengerjakan haji.

2. Iman ialah beriman dan yakin kepada ALLAH, para malaikat, Nabi dan Rasul, kitab-kitab, hari Akhirat dan qadho dan qaddar.

3. Ehsan ialah hendaklah setiap saat merasa di dalam hati akan wujudnya ALLAH, sehingga ketika menyembah ALLAH hendaklah terasa seolah-olah melihat ALLAH, kalau tidak terasa demikian hendaklah merasa bahawa ALLAH sedang melihat kita.

4. Hari Qiamat, Nabi SAW tidak menjelaskan saat berla­kuknya kiamat, kerana ia merupakan rahsia ALLAH. Tetapi cuma diceritakan tanda-tandanya. Di antara tanda-tanda menjelang qiamat ialah apabila para hamba melahirkan tuannya. Apabila orang yang asal-usulnya susah dan merempat, tidak berkasut dan tidak berpakaian, hidup dalam keadaan miskin dan menjadi pengembala kambing akhirnya menjadi senang linang (hidup mewah) dengan meninggikan bangunan rumah mereka.

Kita dapat faham daripada ayat Quran dan hadis-hadis di atas bahawa agama Islam yang dibawa oleh Nabi kita kepada kita ialah agama yang meliputi persoalan dasar-dasar rukun Islam, rukun  iman dan rukun ihsan.

Dalil-dalil lain yang menunjukkan  benar dan betul bahawa Nabi kita menjadi Rasul dan membawa agama Islam ialah mukjizat. Mukjizat yang besar sekali ialah Quran yang mengandungi 30 juzu, 114 surah dan mengandungi lebih kurang 6,666 ayat.

Nabi kita telah mencabar orang-orang Arab yang menen­tangnya agar membawa satu surah yang walau pun pendek, tetapi dapat menyama atau setanding dengan surah Quran itu, tapi mereka tidak dapat membuktikannya.

Orang-orang orentalis, yakni orang Eropah yang mengkaji agama Islam pada zaman sekarang sedar bahawa mereka tiada dapat bercakap atau menulis seperti mana bahasa Al Quran yang halus dan tinggi nilai bahasa dan saster­anya serta mengandungi maklumat yang pelik-pelik dan  ilmu pengetahuan yang boleh diuji dan dibuktikan kebe­narannya. Hanya orang-orang orentalis yang degil dan missi mereka hendak melawan Islam sahaja yang sentiasa mencari mana-mana sudut yang mereka boleh putar belit­kan maksudnya dan di situlah mereka cuba menimbulkan keraguan dan cuba memburuk-burukkan Islam, contonya se­perti mana Goldizher, orentalis bangsa Yahudi yang memburuk-burukkan Al Imam A Zuhri dan lain-lain perkara dalam Islam.

(Bersambung....ke siri kedua)


Taufiq&Hidayah

Taufiq&Hidayah

Taufiq&Hidayah

Taufiq&Hidayah