Keadaan masyarakat Melayu/Islam, nampaknya makin menjadi-jadi dengan krisis moral. Sekarang ini didapati segenap golongan dijangkati penyakit, bermula daripada para pemimpin dan ahli polotik, para ahli ilmuan (agama dan sekular), orang tua, dewasa, hinggalah kepada golongan muda dan kanak-kanak sekolah.
Orang politik dan pemimpin berkrisis dan bergaduh sesama sendiri, sesama satu parti dan dengan lain parti. Masing-masing, kutuk mengutuk, tuduh menuduh, pecah amanah, politik wang, jatuh menjatuh dan lain-lain contoh dan gambaran watak dan peribadi tidak baik yang diperlihatkan kepada rakyat bawahan.
Demikian juga dengan para ahli ilmuan, sama ada yang bukan aliran agama atau yang aliran agama yang terkenal sebagai ulama. Sesama mereka telah menunjukan contoh teladan suka bergaduh dan kecam mengacam, umpat mengumpat, fitnah memfitnah, berbedzaan pendapat dan tafsiran terahdap hukum Islam dan lain-lain.
Orang tua dan dewasa pula memberi gambaran sebagai golongan yang tidak boleh diharapkan, contohnya bersifat bapa haruan makan anak, tengok VCD lucah bersama anak-anak, berkrisis suami isteri, dera mendera, dan lain-lain gambaran buruk yang ditunjukkan kepada anak-anak dan generasi muda mereka sendiri.
Para ahli ekonomi pula, dengan imej banyak hutang, perniagaan rugi, harga barang melambung, menghasilkan barangan rendah mutu, menindas pekerja, hidup mewah sehingga memboros, berpoya-poya di pusat-pusat hiburan ekslusif dan lain-lain gambaran peribadi yang menimbulkan rasa benci orang-orang miskin.
Para pendidik pula melahirkan pelajar yang ganas, memberontak, militan, rendah moral, seks bebas, terlibat dengan kumpulan rock dan terbaru black metal, hisap rokok, dadah, derhaka guru dan lain-lain.
Banyak lagi masalah social yang setiap hari boleh kita lihat dan baca dalam akhbar, media eletronik dan juga didedahkan dalam internet oleh pihak tertentu. Sehingga perkara tersebut telah menjadi umum, bukan sahaja peringkat orang tua dan dewasa yang mengikuti perkembangan itu tahu, tapi anak-anak kecil di sekolah rendah pun tahu dan memperkatakan tentang black metal, oral seks dan lain-lain yang memalukan.
Melihatkan keadaan ini, siapakah yang hendak kita salahkan dan apakah patut ia dipersalahkan. Selaku manusia, memang kita tidak boleh meletakkan kesalahan itu kepada seseorang atau sesuatu kumpulan, badan atau sesiapa pun. Tetapi apa yang jelasnya, setiap sesuatu itu mesti ada sebab dan punca. Kita kena jelaskan kesalahannya dan sama-sama cari jalan penyelesaian.
Namun apa yang ingin disebutkan di sini, ialah apa yang telah disebutkan oleh Rasulullah SAW, tentang punca terjadi kerosakan dalam sesebuah masyarakat atau negara, adalah terletak kepada dua golongan. Mereka adalah golongan utama yang bertanggungjawab dan telibat secara ke arah menentukan bentuk dan arah tuju masyarakat. Dua golongan itu ialah “umara’ dan ulama”.
Sabda Nabi SAW, maksudnya; “Dua golongan dalam umatku, apabila mereka baik, maka baiklah seluruh manusia dan apabila mereka rosak, maka seluruh umat turut menjadi rosak. Mereka ialah para umara’ (pemimpin) dan ahli feqh (ulama)” –(Riwayat Ibnu Abdil Bar dan Abu Naim).
Dalam hadis lain, Nabi SAW bersabda lagi, maksudnya; “Ditimpa kecelakaan ke atas umatku berpunca daripada ulama mereka yang telah jahat” –(Riwayat Al Hakim).
Imam Al Ghazali di dalam Ehya’ Ulumuddin ketika mengulas hadis di atas berkata; “Punca kerosakan akhlak rakyat dalam sesebuah negara ialah kerana para pemimpin mereka telah rosak. Punca pemimpin mereka rosak ialah kerana para ulama mereka juga telah rosak”.
Berdasarkan keterangan di atas, jelaslah bahawa, bila para pemimpin negara rosak akhlak, dengan rasuah, politik wang, skendal seks, jatuh menjatuh, tuduh menuduh sesama sendiri, pecah amanah, gila dunia, gila pangkat, zalim dan sebagainya. Semantara para ulama’ pula, yang peranannya menasihat dan memimpin para umara’, bila mereka tidak melaksanakan tanggungjawabnya, mereka juga terlibat dengan krisis, mengutuk dan mengecam, gila dunia dan gila pangkat dan lain-lain, maka tidak hairan rakyat dan orang awam turut sama megikut jejak langkah mereka. Bahkan bertindak lebih ganas lagi.
Bila keadaan umat ini makin kusut, bagaimana kita yang hidup di zaman ini hendak menghadapinya. Dalam hal ini Allah SWT sendiri dalam sebuah hadis qudsi telah menunjuk jalan kepada hamba-Nya, maksudnyal “Firman Allah; Aku adalah Allah yang tiada lagi Tuhan selain Aku. Aku adalah Pemilik segala-galanya dan Raja bagi segala raja. Sesungguhnya hati segala raja dan pemimpin adalah dalam tangan (kekuasaan) Aku. Sesungguhnya apabila hati segala rakyat taat kepada Aku, maka ketika itu Aku akan merubahkan hati segala raja dan pemimpin negara menjadi lemah-lembut dan mencurah rasa kasih sayang kepada mereka. Tetapi apabila hati rakyat mula berpaling daripada Aku (tidak taat dan derhaka), maka Aku akan merubahkan hati segala raja dan pemimpin negara menjadi kejam dan zalim terhadap mereka. Mereka ditimpa siksaan yang amat berat. Oleh itu, janganlah (rakyat) cuba untuk menentang raja-raja dan para pemimpin mereka. Sebaliknya, apabila mereka melihat raja dan pemimpin mereka zalim, maka hendaklah mereka perbanyakkan berzikir dan mengingati Aku dan terus menerus mentaati perintah Aku. Maka urusan menangani sikap raja dan pemimpin mereka adalah di tangan Aku” –(Riwayat At Tabrani dan Abu Darda’).
Kesimpulan daripada keterangan-keterangan di atas, fahamlah kita bahawa punca permimpin bertindak zalim ke atas rakyat, ialah sebagai salah satu bala’ yang Allah datangkan berpunca daripada rakyat sendiri yang telah derhaka kepada Allah. Langkah untuk mengatasi dan berhadapan dengan pemimpin zalim bukan dengan cara hawa nafsu yang disaluti oleh sifat mazmumah, iaitu bukan dengan menentang dan menjatuhkannya, tetapi dengan cara apa yang dinasihatkan oleh Rasulullah SAW, sepertimana hadis di atas, iaitu rakyat hendaklah kembali taat dan mematuhi perintah Allah, sehingga menjadi golongan orang benar-benar beriman dan bertaqwa. Nanti Allah akan menurunkan pertolongan dan dihantarkan pemimpin yang adil mengantikan pemimpin yang zalim itu. Ertinya selagi umat Islam tidak benar-benar beriman dan bertaqwa serta mengamalkan Islam secara syumul, maka selama itu Allah tidak munculkan atau memberi kemenangan kepada pemimpin yang adil yang bersifat kasih sayang kepada rakyat.
Jika tidak mengamalkan perintah ALLAH, nescaya wujud kekacauan dan huruhara. Firman ALLAH, maksudnya; “Jika kamu (orang Muslim) tidak melaksanakan apa yang telah diperintahkan ALLAH, nescaya akan berlaku kekacauan dan kerosakan besar (melibatkan semua segi kehidupan) di muka bumi ini.” –(Surah Al Anfal: 73).
Oleh itu berusahalah untuk menjadi orang bertakwa. Tanamkan sifat adil bermula daripada dalam diri sendiri, keluarga dan seterusnya kepada masyarakat sehingga wujud “Masyarakat Super Adil”, maka barulah ALLAH akan mengalahkan “Super Zalim”.
Firman ALLAH, maksudnya; “Apabila datang (muncul) kebenaran, maka kebatilan akan lenyap….” –Surah Al Isra’ ayat 81).
Firman ALLAH lagi, maksudnya; “Seandainya ALLAH tidak menolak (menggantikan) keganasan dan kezaliman segolongan manusia dengan segolongan manusia lain, pasti rosak dan porakperandalah muka bumi ini. Tetapi ALLAH mempunyai kurniaan (curahan rahmat) di atas alam raya ini. Itulah ayat-ayat (tanda-tanda kebenaran dan kekuasaan) ALLAH yang KAMI (bacakan) jelaskan kepadamu dengan hak…” –(Surah Al Baqarah ayat 251-252).
Firman ALLAH, maksudnya; “KAMI akan pergilir-gilirkan di antara manusia (berkuasa dan menang) supaya ALLAH buktikan (tunjukkan) perbezaan di antara mukmin (dengan bukan mukmin) dan supaya sebahagian di antara kamu menjadi saksi kepada manusia lain (tentang kebenaran janji ALLAH)” –(Surah Ali Imran: 140).
Firman ALLAH selanjutnya bermaksud; “….jika ALLAH tidak menolak (menghapus) keganasan oleh sebahagian manusia ke atas sebahagian manusia lain, tentulah akan hancur musnah, rumah-rumah ibadah Yahudi dan Nasrani serta mesjid yang di dalamnya ada meyebut nama ALLAH. Sesungguhnya ALLAH pasti menolong orang yang menolong (mengamal dan memperjuangkan) agama-NYA. (Yakinlah) sesungguhnya ALLAH benar-benar Maha Gagah lagi Maha Perkasa. Orang beriman dan orang yang menolong agama ALLAH itu ialah orang-orang yang jika KAMI teguh (kautkan) kedudukan (kuasa) mereka di muka bumi ini, nescaya mereka akan mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh makruf dan mencegah kemungkaran, kepada ALLAH mereka itu menyerah diri (merujuk) segala urusan” –(Surah Al Hajj ayat 40-41).
Firman Allah, maksudnya; “Dan barangsiapa yang bertaqwa kepada
Allah, nescaya Allah jadikan baginya kemudahan dalam urusannya.”
– (Surah At Talak ayat 2-3).
Demikianlah di antara janji-janji ALLAH serta panduan-panduan perjuangan yang wajib kita yakini dan praktikkan dalam kehidupan harian.
No comments:
Post a Comment