STRATIGI HIJRAH:
KE ARAH PENGUKUHAN akidah,
POLITIK DAN EKONOMI
Oleh: JAAFAR SALLEH
Apabila kita memperkatakan tentang HIJRAH, umumnya di kalangan umat Islam hari memahami bahawa hijrah adalah sebagai satu peristiwa atau sejarah perpindahan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat daripada Mekkah ke
Madinah. Kalau pun dikaitkan dengan perkembangan
tamaddun Islam ia hanya dikaitkan dengan sejarah
permulaan takwim Islam dan tidak lebih daripada itu.
Jarang kita dapati peristiwa hijrah itu disorot
secara mendalam yang menyentuh keseluruhan bidang
kehidupan dan perjuangan manusia sejagat sehingga
pengajaran daripada hijrah dapat dijadikan pedoman dan
panduan hidup serta panduan bagi menyelesaikan masalah
dan isu-isu semasa umat Islam, baik menyentuh bidang
kemasyarakatan, ekonomi, pendidikan, siasah (politik)
dan lain-lain.
Sebenarnya, jika ditinjau HIJRAH peranan dan fungsi
secara global, maka kita akan dapati bahawa bukan
sekadar satu peristiwa perpindahan dari suatu tempat
ke tempat lain, tetapi ia juga adalah sebagai SYARIAH
dan SUNNAH yang dianjurkan agar umat Islam
melaksanakannya di dalam kehidupan mereka. Selain itu
hijrah juga bermaksud menukar daripada suatu sikap
kepada suatu sikap, dari suatu pegangan kepada suatu
pegangan dan seterusnya daripada suatu bentuk
kehidupan kepada suatu bentuk kehidupan lain.
Sebagai buktinya mari kita lihat apa yang disabdakan
oleh Nabi SAW dalam sebuah hadis, maksudnya; “Orang
yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan (suasana,
pegangan dan cara hidup) yang dilarang oleh Allah
kepada yang diperintahkan oleh Allah” -(Riwayat Imam
Bukhari dari Abdullah binUmar R.A).
Peristiwa dan perintah HIJRAH juga tidak hanya
berlaku ke atas Nabi Muhammad dan para sahabatnya yang
berhijrah dari Mekkah ke Madinah, tetapi berlaku juga
ke atas Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul dahulu seperti Nabi
Ibrahim berhijrah dari Kan’an ke Mekkah, Nabi Yakub
berhijrah dari Madyan ke Mesir, Nabi Musa berhijrah
dari Mesir ke Syam (Syria) dan demikian dengan
Nabi-Nabi lain.
Hijrah juga dilakukan oleh para pejuang dan para
perancang politik Islam zaman dahulu seperti Bani
Umayyah berhijrah dari Damsyik ke Khurasan. Selepas
itu setelah kerajaannya jatuh ke tangan Bani
Abbasiah, maka Bani Umayyai berhijrah pula ke beberapa
negara di Afrika. Sewaktu kejatuhan Baghdad ke tangan
tentera Tartar, ramai para pejuang Islam berhijrah
daripada Baghdad (Iraq) ke Eropah (Barat dan Timur),
Afrika Utara, Afrika Selatan, Asia Kecil, Asia Barat,
Gujerat dan ke Alam Melayu termasuk ke Indo-Cina.
Memandangkan hijrah itu berlaku ke atas para Nabi dan
Rasul dan ke atas para pejuang Islam, maka sudah tentu
hijrah bagi umat Islam khususnya hari ini, ia bukan
merupakan suatu perkara yang boleh dianggap kecil.
Lebih-lebih lagi hijrah dalam bentuk perubahan
peribadi dan kehidupan daripada buruk kepada baik,
lebih-lebih lagi persoalan dan konsep hijrah secara
global itu ada tersebut di dalam Al Quran yang
menyentuh tentang persoalan hijrah meliputi
berbagai-bagai persoalan kehidupan masyarakat.
Berikutnya, mari kita renung ayat-ayat Al Quran yang
menyentuh tentang persolan hijrah;
1. Firman Allah, maksudnya: “Sesungguhnya orang yang
beriman dan berhijrah dan berjihad di jalan Allah (Fi
Sabilillah), mereka itulah yang boleh mengharap
(mendapat) rahmat daripada Allah...” -(Surah Al
Baqarah ayat 218).
2. “...Orang yang berhijrah setelah mereka diusir
daripada kampung halaman mereka dan mereka yang
berhijrah kerana disakiti dalam masa mereka berjuang
menegakkan agama Allah (jihad Fi Sabilillah) dan
orang-orang yang berperang...semuanya Allah akan
ampuni segala dosa mereka dan mereka dimasukkan ke
dalam Syurga...” -(Surah Ali Imran:195).
3. “Para malaikat berkata: Bukankah bumi Allah ini
luas sehingga kamu dapat berhijrah di mana sahaja yang
boleh menyelamatkan kamu...” -(Surah An Nisa’:97).
4. “ Barangsiapa yang berhijrah ke jalan Allah mereka
akan mendapati bumi Allah ini luas (bebas) dan boleh
mendapat rezeki yang banyak. Barangsiapa keluar
daripada rumahnya dengan maksud berhijrah ke jalan
Allah (untuk mendapat iman, mencari ilmu dan untuk
mencari tempat yang tidak terganggu untuk menegakkan
syariat Allah), kemudian mereka mati di tengah
perjalanan (belum sampai ke tempat yang dituju),
sesungguhnya ia tetap mendapat pahala...” -(Surah An
Nisaa’:100).
5. “Orang yang beriman, berhijrah dan berjuang dengan
harta dan diri mereka di jalan Allah, nilainya lebih
tinggi daripada orang lain di sisi Allah dan ia
mendapat kemenangan.” -(Surah At Taubah:20).
6. “Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah sudah
mereka dianaiyai, pasti kami akan memberikan tempat yang bagus kepada
mereka di dunia. Dan sesungguhnya pahala di Akhirat
adalah lebih besar, kalau mereka mengetahui.” -(Surah
An Nahl:41)
TUJUAN DAN MATLAMAT HIJRAH
Intisari daripada pengertian dan tujuan hijrah
sepertimana dalam Al quran dan Sunah, para ulama telah
menyimpulkan bahawa hijrah adalah suatu yang
disyariatkan oleh Allah dan mempunyai tujuan dan
motif-motif tertentu mengikut bidang-bidang seseorang.
Di antaranya ialah;
1. Berhijrah bertujuan meninggalkan perkara buruk,
maksiat dan yang dilarang oleh Allah secara menukar
pegangan dan fikiran daripada ideologi yang tidak baik
kepada yang baik, merubah peribadi daripada bermoral
buruk kepada moral baik, meninggalkan perbuatan yang
dilarang (yang jahat) kepada perbuatan yang diperintah
(perbuatan baik), meninggalkan pergaulan dengan orang
(kawan) atau masyarakat yang jahat kepada orang dan
masyarakat yang baik serta sebagainya.
Hijrah inilah sepertimana yang disebut oleh Hadis
Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang yang berhijrah
itu ialah orang yang meninggalkan segala yang dilarang
oleh Allah (pada pemikiran, perbuatan dan percakapan
dan lain-lain).” -(Hadis riwayat Imam Bukhari daripada
Abudullah bin Umar R.A).
2. Hijrah daripada suatu kampung atau daerah atau
negeri atau negara yang mana di tempat-tempat tersebut
terdapat halangan untuk kita mengamalkan serta
mengembangkan ajaran Islam, kerana dihalang,
dikongkong atau difitnah oleh musuh-musuh Islam.
Ketika itu para ulama berfatwa hukumnya wajib
berhijrah. Kerana sekiranya kita masih terus tinggal
di tempat itu, kita terpaksa melakukan kezaliman atau
melanggar larangan ALLAH. Jika tidak berhijrah
dihukumkan berdosa.
Hijrah demikian ialah sepertimana berlaku ke atas
Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya dan juga Nabi
Musa daripada Mesir ke Palestin. Hijrah demikian juga
dituntut ke atas umat-umat Islam tidak kira di mana ia
berada dan di zaman mana ia hidup. Hijrah itu adalah
bertujuan untuk menyelamatkan iman dan akidah serta
untuk menghidupkan syi’ar Islam.
Dalam Al Quran Allah telah berfirman sebagai
menunjukkan dianjur berhijrah sekirannya kita
menghadapi masalah sepertimana di atas. Firman Allah,
maksudnya; “....Orang yang berhijrah setelah mereka
dan diusir dari kampung halaman mereka dan mereka yang
berhijrah kerena disakiti (diiniaya) dalamasa mereka
berjuang menegakkan agama Allah dan orang yang
berparang...Mereka itu akan ampuni dosa dan
dimasukan ke dalam syuga...” -(Surah Ali Imran ayat
195).
Dalam ayat lain Allah berfirman lagi, maksudnya; “Dan
orang yang berhijrah kerana Allah (kerana
mempertahan dan memperjuangkan kebenaran) setelah
mereka diiniaya, pasti Kami (Allah) akan memberi
tempat yang baik (selamat) kepada mereka di dunia.
Sesungguhnya pahala di akhirat adalah lebih besar
(yang akan mereka perolehi) sekiranya mereka itu
mengetahui” -(Surah An Nahl ayat 41).
3. Hijrah bertujuan untuk mencari ilmu dan membasmi
kebodohan. Hijrah ini hukumnya wajib. Sekiranya
seseorang itu berkeadaan jahil dan di tempat
tinggalnya tidak terdapat orang yang berilmu yang
boleh ia belajar, sedang ilmu yang dituntut agar
dipelajari itu berada di negara lain, maka ketika itu
ia wajib berhijrah ke negara tersebut. Kerarna hukum
menuntut ilmu adalah wajib sepertimana yang ditegaskan
oleh Nabi SAW dalam sabdanya yang bermaksud: “Menuntut
ilmu itu hukumnya wajib ke atas setiap individu muslim
(lelaki dan perempuan)” –(Hadis riwayat Ibnu Majah
daripada Anas R.A).
Tentang faedah menuntut ilmu terutamanya ilmu di
bidang fardhu ain atau fardhu kifayah (untuk digunakan
bagi faedah masyarakat dan menyelesaikan masalah
umum), maka Nabi SAW menyebut lagi di dalam beberapa
sabdanya: “Barangsiapa yang merentasi satu jalan untuk
menuntut ilmu, maka dikurniakan kepadanya jalan ke
Syurga.” –(Hadis riwayat Imam Muslim daripada Abu
Hurairah).
Hadis lain Nabi SAW bersabda lagi, maksudnya:
“Sesungguhnya engkau berjalan menuju suatu tempat
untuk mempelajari suatu bab daripada ilmu Allah adalah
lebih baik daripada engkau mengerjakan solat
(sembahyang sunat) seratus rakaat.” -Hadis riwayat
Ibnu Abdil Bar daripada Abu Hurairah R.A.
4. Hijrah kerana mencari rezeki yang halal. Kalau
seseorang itu berada di suatu tempat di mana sukar
mencari rezeki yang halal, maka ia dituntut supaya
berhijrah di tempat yang lain di mana terdapat
kemudahan rezeki yang halal.
Tentang hal itu terdapat beberapa keterangan Al Quran
dan Al Hadis mengenainya. Di antaranya ialah;
Allah berfirman di dalam Al Quran surah Al Mulk
bermaksud: “Dialah (Allah) yang menjadikan bumi itu
mudah bagi kamu dan oleh itu berjalanlah kamu
disegenap penjuru bumi ini (untuk mencari rezeki dan
untuk kehidupan) dan makanlah (carilah) rezeki yang
halal yang disediakan oleh Allah...” -(Surah Al
Mulk:15)
Firman Allah lagi: “Keluarlah (pergilah) ke serata
muka bumi Allah ini bagi mencari sebahagian daripada
rezeki yang telah Allah sediakan untuk kamu...”
-(surah al Muzammil:20)
Dalam surah An Nisa’ pula Allah berfirman lagi:
“Barangsiapa yang berhijrah ke jalan Allah (Fi
Sabilillah), nescaya ia akan bertemu dengan tempat
perlindungan yang baik dan kelapangan (kesenangan)
hidup yang banyak.” -(Surah An Nisa’ ayat 100).
Sementara Nabi SAW pula menganjurkan: “Merantau dan
berhijrahlah kamu sekelian, nescaya kamu semua akan
menjadi orang yang kaya.” -(Hadis riwayat Imam At
Tabrani).
5. Berhijrah kerana keperluan masyarakat. Sekiranya
terdapat suatu masyarakat yang memerlukan didikan dan
bimbingan, sedangkan di sana tidak ada tokoh yang
mampu untuk menjalankan tugas tersebut, maka ketika
itu sekiranya kita sebagai seorang yang mampu, maka
menjadi kewajipan berhijrah ke tempat itu untuk tujuan
memimpin masyarakat di sana.
sekiranya tidak ada tokoh yang memimpin umat atau
masyarakat itu, maka mereka akan kehilangan panduan
dan mudah terpengaruh oleh berbagai-bagai fahaman dan
ideologi yang sesat.
Dalam Al Quran Allah berfirman, maksudnya: “Hendaklah
ada di kalangan kamu suatu golongan (hendaklah kamu
membentuk suatu jemaah) yang tugasnya memimpin
masyarakat kepada perkara yang baik (yang diperintah
oleh Allah) dan memerintah masyarakat melakukan
perkara kebajikan dan melarang mereka daripada
melakukan kemungkaran...” -(Surah Ali Imran:104).
Firman Allah lagi, “Kami jadikan di antara mereka itu
pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan
perintah Kami (Allah)...” -(Surah As Sajadah:24).
Dalam ayat lain Allah berfirman lagi: “Kenapa
sebahagian di antara kamu di dalam golongan kamu tidak
berangkat pergi mendalami ilmu pengetahuan dan setelah
itu kamu pergunakan untuk memberi pengajaran (mendidik
dan memimpin) akan suatu kaum agar mereka terselamat
daripada kesesatan.” -(Surah At Taubah:122).
Firman Allah lagi; “Berangkatlah kamu berdua (Nabi
Musa dan Nabi Daud) dengan membawa mukjizat (bagi
mendakwahkan Fir’aun dan golongannya).” -(Surah
Al-Qasas:35).
Ayat ini ditujukan kepada Nabi Musa dan Nabi Daud A.S
supaya berhijrah ke Negeri Mesir untuk tujuan
berdakwah kepada Fir’aun.
Sabda Nabi Muhammad SAW: “Hendaklah kamu berada di
dalam kumpulan (masyarakat), kerana dalam perkumpulan
itu terdapat banyak rahmat.” –(Hadis riwayat Imam
Muslim). Hadis ini secara tidak lansung menganjurkan
supaya berhijrah mencari masyarakat dan menjalankan
aktiviti bersama-sama di dalam masyarakat itu.
Dalam sebuah hadis lain diriwayatkan oleh Imam
Muslim, Nabi Muhammad SAW pernah menganjurkan kepada
Abu Huzaifah agar mencari masyarakat serta mengikut
kepimpinan masyarakat (mukmin) itu dan melarang hidup
memencilkan diri daripada masyarakt ramai.
STRATIJI HIJRAH YANG PATUT DICONTUHI UMAT ISLAM KINI
Nabi Muhammad SAW ialah seorang pemimpin dan pejuang
yang pintar, berjiwa besar dan berpandangan jauh dan
setiap saat sentiasa berfikir dan menyusun rancangan
dan strategi perjuangannya; untuk menguatkan dan
mengembangkan Islam ke pelusuk dunia.
Pelbagai cara, taktik dan teknik telah digunakan oleh
Nabi SAW, termasuklah taktik berhijrah, yang
kemudiannya diperintah oleh Allah. Tetapi sebelum itu,
Nabi SAW atas hemahnya selaku seorang pemimpin ummah,
telah menganjurkan para sahabat berhijrah ke Habsyah,
Ta’if dan beberapa buah negara yang berdekatan dengan
Mekah. Para sahabat yang mula diperintah berhijrah
ialah yang telah menjalani latihan dan tarbiah di
Darul Arqam, iaitu markaz pergerakan Rasulullah SAW
pertama yang terletak di kaki gunung Jabal Qubais.
Mereka terdiri daripada para sahabat yang tahan lasak
setelah menempuh pelbagai ujian.
Sewaktu mula-mula menyampaikan ajaran Islam di Mekah
Rasulullah SAW menerima pelbagai ancaman dan tekanan
yang amat kuat sekali daripada kafir Quraish.
Melihatkan usaha untuk menyebar dan menyampaikan
risalah islamiyah di bumi Mekah terganggu, maka
terlintas di hati Rasulullah SAW untuk mencari bumi
lain yang diharapkan di sana nanti ada umat yang dapat
menerima seruan Islam. Baginda pun menyusun strategi
hijrah. Beberapa orang para sahabat telah diarahkan
dahulu melakukan hijrah ke beberapa buah negara
seperti Taif dan Habsyah sebelum wahyu turun yang
memerintahkan agar berhijrah ke Madinah.
Sabda Nabi SAW kepada sahabatnya: “Pergilah kamu ke
serata bumi Allah ini, nanti kelak Allah akan
mengumpulkan kamu semula.” Para sahabat bertanya: “Ke
mana kami hendak tuju?” Nabi SAW pun mengisyaratkan
dengan tangannya menuju ke arah Habsyah. (Rujuk Syarah
al Muwaahibbul Laduniyyah, jilid 1, halaman 270).
Peristiwa penghijrahan umat Islam daripada Mekah ke
merata negara-negara yang berdekatan di sekeliling
bumi Mekah telah diketahui oleh orang Kafir Quraish.
Mereka mula bimbang dengan perkembangan baru strategi
Rasulullah SAW itu. Lalu mereka berusaha menyekat
dengan berbagai-bagai cara.
Kalau dilihat pada logiknya, untuk apa kaum kafir
Quraish bimbang dan cuba menyekat umat Islam daripada
meninggalkan negeri Mekkah, padahal mereka memang
benci kepada umat Islam. Sepatutnya apabila tindakan
umat Islam termasuk Nabi SAW berserta orang kanannya
Saidina Abu Bakar keluar meninggalkan Mekah, sebagai
suatu perkembangan yang menyeronokkan mereka
(orang-orang kafir Quraish), kerana bila umat Islam
tidak ada di Mekah, tidaklah menganggu mereka lagi dan
kedudukan mereka tidak tergugat. Secara tidak langsung
pengaruh Rasulullah akan hilang di Mekah.
Tetapi kenapa orang kafir Quraish tidak berperasaan
demikian, bahkan tindakan Nabi Muhammad SAW dan para
sahabat berhijrah daripada Mekah ke negara-negara
lain, telah membimbangkan mereka sehingga anggota
perwakilan suku-suku di Mekah terpaksa mengadakan
sidang parlimen tergempar khusus untuk membincangkan
isu hijrah tersebut. Lalu mereka sepakat membuat
keputusan menyekat penghijrahan umat Islam,
terutamanya Rasulullah SAW sendiri. Beberapa pasukan
tentera yang terdiri daripada para pemuda yang gagah
berani lagi cekap bermain senjata telah diatur di
segenap jalan keluar daripada Mekah. Mana-mana umat
Islam yang hendak berhijrah ditangkap, jika degil
terus disiksa dan dibunuh. Tetapi dengan kelicikan
Rasulullah dan para sahabatnya, dapat juga mereka
meloloskan diri.
Para pengkaji sejarah kagum memikirkan betapa besar
dan tingginya hikmah dan taktik Rasulullah SAW
menyelamatkan iman para pengikutnya dan betapa cekap
dan jauhnya visi Rasulullah SAW mengatur strategi
untuk perkembangan dan kekuatan politik, ekonomi dan
sosial umat Islam akan datang. Cuba kita renung di
sebalik amanat Rasulullah SAW. Para sahabat yang
pintar telah dapat menyelam isi maksudnya iaitu pada
perkataan “...Kelak Allah akan mengumpukan kamu
semula...” . Jelas, setelah itu Allah mengumpulkan
semula umat Islam pada peristiwa “FUTUH AL MAKKIAH”
(Pembukaan Kota Mekah). Demikian hikmah hijrah yang
tersirat jika kita sorot di sebalik peristiwa yang
tersurat itu.
Selanjutnya, mari kita sorot hikmah di sebalik
stratiji hijrah yang dilaku dan disusun oleh
Rasulullah SAW yang kemudianya nyata telah memberi
keuntungan dan kekuatan kepada Islam dalam pelbagai
espek.
1. Stratiji Hijrah Di segi Agama
Hikmah hijrah di segi agama atau lebih tepat
dikatakan strategi untuk menyelamatkan iman dan akidah
umat Islam ketika mereka diancam oleh orang kafir
Quraish dan memaksa mereka agar kembali semula kepada
agama berhala.
Peristiwa Bilal bin Rabbah, Amar bin Yasir dan
keluarganya dan beberapa orang sahabat lain disiksa
dan dibunuh, telah menimbulkan rasa tanggungjawab
Rasulullah SAW, selaku pemimpin untuk mencari jalan
bagi menyelamatkan iman dan fizikal umat Islam.
Rasulullah SAW merassakan betapa pentingnya ada suatu
tempat yang mempunyai suasana dan lingkungan yang
tersendiri sahaja umat Islam akan dapat bebas
mengamalkan ajaran Islam yang dianut dan diyakini
mereka itu. Selagi mereka berada di tengah masyarakat
yang menentang dan berusaha untuk memusnahkan akidah
dan iman mereka, selagi itu akidah dan iman umat Islam
terancam dan ajaran Islam yang agung dan indah itu
tidak dapat diamalkan dengan sempurna serta tidak
boleh dikembangkan.
Sebab itu di dalam beberapa hadis, Rasulullah SAW
begitu tegas menjelaskan pendirianya tentang kedudukan
umat Islam yang tinggal dan hidup bersama di dalam
masyarakat bukan Islam.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jangan kamu
tinggal bersama-sama dan jangan bercampur gaul dengan
orang musyrik. Siapa tinggal bersama dan bergaul
dengan musyrikin, ia dianggap termasuk ke dalam
golongan orang musyrik.” -(Hadis Hassan dari Anas yang
dipetik oleh Imam As Subki).
Dalam hadis lain Nabi SAW menegaskan lagi, maksudnya:
“Aku berlepas diri (tidak bertanggungjawab) ke atas
orang Islam yang tinggal di celah-celah masyarakat
musyrik.” Sahabat bertanya; “kenapa”. Jawab Baginda:
“Agar jangan nampak api di antara kedua pihak.”
Dengan melakukan hijrah, iman dan akidah umat Islam
yang dahulunya tinggal di dalam masyarakat musyrik
terselamat daripada ancaman. Di Habsyah umpamanya,
umat Islam mendapat kebebasan hidup sekelompok sesama
mereka dan mereka dapat mendirikan masyarakat kecil
serta bebas menegakkan syariat dan membentuk suasana
dan aktiviti secara tersendiri. Mereka tidak lagi
diganggu, kerana kerajaan Habsyah ketika itu menganut
agama “Nasrani Asli” yang sifatnya mencintai dan
menghormati kebenaran serta cintakan keamanan.
2. Stratiji Hijrah Di segi Politik
Selaku tokoh politik agung yang sangat licin mengatur
teknik dan taktiknya, Nabi Muhammad SAW mempunyai
pandangan yang amat jauh sekali di sebalik strategi
hijrah itu. Dalam keadaan ditekan oleh kaum kafir
Quraish sehingga kaum muslimin menghadapi keadaan yang
amat gawat sekali, Baginda dengan tenang dan disertai
pula dengan pimpinan Ilahi telah merencanakan
rancangan yang dianggap oleh para ahli sejarah, amat
raksaksa sekali.
Tindakan Rasulullah SAW memerintahkan umatnya
berhijrah keluar negeri, secara tidak langsung telah
mengatur strategi untuk Islam berkembang sampai ke
beberapa buah negeri sekaligus ke seluruh dunia.
Di Habsyah yang pada mulanya kerajaan dan rakyatnya
tidak tahu menahu tentang agama yang baru muncul yang
dibawa oleh seorang Rasul yang baru dilantik itu.
Tetapi setelah kedatangan umat Islam dan disusuli pula
oleh rombongan para pembesar Qurasih yang menuntut
kembali pelarian (rakyat) Mekah itu, maka Maharaja
Habsyah mula mendapat tahu dan kenal akan Islam dan
nama Rasul baru itu yang memang telah tercatat di
dalam kitab Injil Nasara.
Tokoh-tokoh politik jahiliyah kalangan kaum Quraish
tidak kurang juga pintarnya otak mereka. Mereka telah
dapat membaca dan menganalisa taktik penghijrahan Nabi
Muhammad SAW itu sebagai suatu usaha ke arah
pemindahan pengaruh dan aktiviti agama Islam keluar
negeri yang kelak akan mengancam kedudukan politik
mereka di Mekah.
Di segi agama, kafir Qurish membuat andaian bahwa
rakyat Habsyah tidak mungkin akan terpengaruh dengan
agama Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW, kerana
asalnya beragama Nasrani. Tetap di segi politik pula,
Habsyah mempunyai perasaan permusuhan terhadap Mekah
kerana cemburu dengan perkembangan Mekah sebagai pusat
tumpuan penduduk dunia yang datang untuk beribadah di
Ka’abah sejak didirikan oleh Nabi Ibarahim A.S dan
sekaligus Kota Mekkah juga menjadi tempat tumpuan dan
nadi kegiatan perdagangan dan ekonomi dunia. Tambahan
pula Habsyah pernah melancarkan serangan tentera
bergajah terhadap Mekkah dan peristiwa itu tidak
dilupakan oleh rakyat Mekkah. Apa yang membimbangkan
mereka bukan pengaruh agama di Habsyah, tetapi dengan
hijrah itu akan terbentuknya pusat kegiatan Islam (di
kalangan golongan rakyat Mekah) di Habsyah dan kelak
mereka akan mendapat sokongan dan bantuan Habsyah
untuk menyerang Mekah pada suatu ketika yang sesuai.
Para ahli politik Quraish Mekah telah membuat andaian
bahawa Habsyah akan mengongsi kekuatan dengan para
pelarian (pengikut Nabi Muhammad SAW) untuk mengadakan
serangan tentera bergajah kedua.
Oleh sebab itulah mereka berusaha untuk menuntut
kembali pelarian rakyat negara mereka itu daripada
Maharaja Habsyah. Lebih menyakitkan hati mereka lagi
ialah apabila tuntutan mereka ditolak oleh Maharaja
Habsyah atas sebab beliau yakin Nabi Muhammad SAW
adalah sebenarnya utusan Allah yang membawa kebenaran.
Ekuran itu, sebelum meninggal dunia Maharaja Habsyah
itu dengan rela hati menganut agama Islam.
Inilah di antara strategi hijrah yang jarang dapat
disorot hikmahnya oleh para pejuang Islam di zaman
mutakhir ini. Tetapi para ahli politik dahulu di
kalangan orang mukmin yang hidup tidak begitu jauh
jaraknya dengan zaman Nabi SAW, telah menyedari hal
itu. Contohnya para perancang politik Bani Umaiyah di
Damsyik, mereka telah berhijrah ke Khurasan (Iran) dan
menanam benih perjuangan di sana. Setelah kerajaan
Bani Umaiyah jatuh ke tangan Bani Abbasiah, mereka
berhijrah pula daripada Damsyik ke Afrika.
Strategi pengembangan agama Islam demikian (secara
hijrah) merupakan sunnah yang sepatutnya dilakukan
juga oleh para pengembang agama zaman mutakhirin ini
sama ada melalui cara berdagang sepertimana yang
dilakukan oleh para pengembang Islam daripada Tanah
Arab ke Malaysia atau terus berpindah negeri,
meninggalkan kampung halaman dan bermastautin di
tempat yang menjadi sasaran dakwah Islamiah mereka.
3. Stratiji Hijrah Di segi ekonomi
Setelah orang kafir Quraish gagal memujuk maharaja
Habsyah untuk membawa pulang pelarian Islam daripada
Habsyah yang diketuai oleh Jaafar bin Abi Talib,
mereka kembali ke Mekah dan merancang suatu taktik
tekanan yang lain ke atas umat Islam yang ada di Mekah
termasuk Rasulullah SAW.
Keputusan yang mereka buat setelah berbincang sesama
politikus-politikus Quraish ialah mereka mesti
mengadakan pembaikotan terutama di bidang ekonomi.
Selain daripada mereka mengeluarkan pengisytiharan
suapaya jangan bergaul dan mengadakan sebarang
hubungan dengan orang Islam, mereka juga melarang
semua pihak mengadakan jual beli dengan umat Islam dan
para simpati mereka.
Hasil pembaikotan barang-barang makanan, umat Islam
lebih-lebih lagi anak-anak, orang-orang tua dan wanita
berada di dalam keadaan kelaparan dan kekurangan bahan
makanan begitu lama. Kalaupun mereka hendak
mendapatkan bahan makanan, mereka terpaksa pergi ke
pasar yang jauh, memakan masa dan belanja yang tinggi.
Barang-barang dagangan dan ekonomi umat Islam tidak
ada orang yang hendak membeli. Walau pun ada para
saudagar datang membawa barang makanan daripada luar
ke Mekah, mereka diperintah oleh kafir Quraish supaya
menjual dengan harga yang mahal kepada umat Islam dan
dengan itu mereka berharap kegiatan untuk
mengembangkan agama turut menjadi lumpuh juga.
Demi menjaga iman, para sahabat telah terpaksa
memakan kulit kayu dan ada yang merebus kulit kasut
(yang diperbuat daripada kulit unta dan kulit kambing)
untuk dijadikan makanan. Dalam masa yang sama juga
orang kafir mengawal setiap jalan keluar daripada
Mekah bagi menyekat penghijrahan umat Islam terutama
Nabi SAW yang ketika itu sedang di bawah kawalan para
simpati dari kalangan Bani Hasyim dan Bani Abdul
Mutalib.
Melihatkan keadaan umat Islam di Mekah tertekan oleh
kejatuhan ekonomi akibat pembaikotan itu, maka
bertambah lagilah Nabi SAW dan beberapa orang sahabat
lain merancang untuk lebih cepat umat berhijrah secara
keseluruhanya meninggalkan Mekkah. Maka Madinah adalah
pilihan terbaik bagi distinasi hijrah.
Setelah Rasulullah SAW dan umat Islam berhijrah ke
Madinah dan setelah mereka mendapat kebebasan hidup,
maka di sanalah Rasulullah SAW merancangkan untuk
membangun dan membina ekonomi sendiri dan tersendiri
melalui seorang sahabat yang pakar di bidang ekonomi,
bernama Abdul Rahman bin Auf. Setelah ada mesyarakat
sendiri dan terbinanya sektor ekonomi umat Islam, maka
mereka dapat menikmati kemakmuran melalui perniagaan
sesama Islam tanpa terlibat dengan tekanan sistem riba
dan lain-lain sistem ekonomi jahiliah yang
menyulitkan.
Kesan daripada wujudnya sektor ekonomi umat Islam di
Madinah, ekonomi orang kafir Yahudi yang bernadi di
atas nadi riba dan penindasan, telah runtuh dan
pasaran mereka terpaksa ditutup. Ekonomi Islam yang
dasarnya “berkhidmat” mendapat perhatian semua pihak.
Demikian kesan daripada hijrah yang membebaskan diri
daripada sebarang kongkongan, telah melahirkan
kekuatan di bidang ekonomi dan daripada kekuatan
itulah, umat Islam dapat membina masyarakat dan negara
dengan baik serta menjadikannya sebagai alat untuk
mempertingkatkan ibadah kepada Allah seperti
menyediakan peralatan untuk pergi ke Mekah menunaikan
fardhu haji setiap tahun.
4. Stratiji Hijrah Di segi sosial
Jika dilihat peranan hijrah di segi sosial, ia adalah
lebih penting daripada aspek-aspek lain. Kerana aspek
politik dan ekonomi lebih banyak bergantung kepada
sosial atau masyarakat. Islam sebagai agama yang tidak
menggalakkan hidup bersendirian dan terdapat banyak
sekali keterangan tentang perintah mewujudkan
masyarakat.
Perjuangan Rasulullah SAW menanam dan membina iman ke
dalam setiap jiwa masyarakat Mekah merupakan asas
utama untuk selanjutnya membina sebuah masyarakat dan
seterusnya negara dan alam sejagat Islam. Daripada
masyarakatlah akan dapat dijadikan sebagai wadah untuk
melaksanakan segala perintah Allah samada yang
berhubungan dengan fardhu ‘Ain atau lebih-lebih lagi
di bidang fardhu kifayah (ibadah yang ada hubungan
dengan masyarakat).
Sewaktu berada di Mekah, dalam keadaan bercampur-baur
dengan masyarakat jahiliyah, Nabi SAW tidak dapat
membina dan membentuk masyarakat Islam yang sifatnya
tersendiri sepertimana yang dikehendaki oleh Allah,
iaitu masyarakat tauhid yang bersih daripada berhala,
kerana mereka mendapat tekanan yang kuat daripada
penguasa masyarakat dan pemerintah berhala musyrik di
Mekah.
Walaupun usaha dilakukan selama 13 tahun untuk
menumbangkan masyarakat berhala itu daripada dalam,
tapi sebenarnya sudah menjadi sunnah Allah, bahawa
untuk menumpas sesuatu itu adalah melalui tekanan yang
dibina daripada luar. Lalu Nabi SAW pun menyusun
strategi untuk berhijrah keluar daripada Mekah bagi
mencari tempat yang mana di sana Baginda SAW dapat
membentuk kekuatan, sekiranya rencana penyebaran
risalah Islamiah mendapat tentangan secara militan
daripada orang kafir dan musuh Islam.
Oleh sebab itu pada peringkat awalnya, Rasulullah SAW
mengarahkan sahabat supaya meninjau Habsyah dan
lain-lain negara dan Baginda sendiri cuba ke Thaif,
sebagai langkah meninjau tapak untuk menegakkan Daulah
Islamiah. Peringkat permulaan mereka tidak mencapai
kejayaan. Sehinggalah peristiwa hijrah ke Madinah, di
sanalah tempat yang sesuai dan di situlah bermulanya
sejarah pembentukan masyarakat dan negara Islam yang
ideal.
Bermula daripada Madinahlah titik tolak pembangunan
bidang-bidang zahiriah melalui benih asas IMAN yang
disemai selama 13 tahun di Mekah dapat ditegakkan
secara syumul. Setelah jalan membentuk dan
mempertingkatkan pembentukan masyarakat Islam yang
dapat dijadikan contoh terbuka luas dan bebas di
Madinah, maka dari situlah Rasulullah SAW merencana
strategi untuk mengembangkan Islam ke seluruh dunia.
Islam di waktu itu telah menjadi suatu umat yang
disegani oleh kawan dan ditakuti oleh lawan, termasuk
kafir Quraish sehingga peristiwa Futuh Al Makkiah
(Penawanan Mekah) dilakukan secara damai tanpa
pertumpahan darah.
Demikianlah natijah daripada hijrah, suatu strategi
yang hanya berjaya dilakukan oleh pemimpin yang
berjiwa besar dan mempunyai visi yang jauh. Perkara
itu cuma dapat dilakukan oleh para nabi dan rasul dan
orang-orang yang mendapat pimpinan Ilahi sahaja dari
kalangan orang yang berjiwa tauhid.
T A M A T
Sumber Rujukan
1. Sirah An Nabawi, Ibnu Hisyam.
2. Al Muwahibul Laduniay, Al ‘Alamah Mahmud Zurqani.
3. Inasanul Uyun, Al ‘Alamah Burhanuddin Al Halabi.
4. Da ‘is Sama, Profesor Abbas Mahumud Al Aqqad.
5. Sejarah dan Perjuangan Nabi Muhammad SAW, Haji
Zainal Ariffin Abbas.
6. Kelengkapan tarikh Nabi Muhammad SAW, K.H Munawar
Khalil.
No comments:
Post a Comment